Latar Belakang Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera

Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) merupakan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan. Ia tercetus sewaktu Kongres Usahawan Muda Bumiputera pada 27 - 29 Mac 2014. Semasa Majlis Penutup Kongres pada 29 Mac 2014, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada SME Corp. Malaysia bagi melaksanakan Program Tunas Usahawan Bumiputera pada tahun 2014.

Program ini secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara yang mana keusahawanan merupakan antara bidang tumpuan utama untuk belia maju ke hadapan.

Maklumat Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera

Program ini menyasarkan golongan belia Bumiputera yang berumur di antara 18 - 30 tahun yang mempunyai minat yang mendalam untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, khususnya belia yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan. Objektif utama Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera adalah untuk:

  1. memupuk dan menanam semangat keusahawanan di kalangan belia
  2. anjakan paradigma belia dari pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan; serta
  3. membentuk daya tahan dan jati diri di kalangan belia dalam mengendalikan perniagaan sendiri
Program TUBE ini direka khas bagi mempersiapkan belia yang ingin memulakan perniagaan dengan pengetahuan dan maklumat asas keusahawanan, selain didedahkan dengan lanskap dan cabaran dunia perniagaan yang sebenar menerusi dua (2) fasa pelaksanaan iaitu:

Fasa 1

Fasa Pertama

Menerusi Fasa 1 iaitu Bengkel Asas Keusahawanan selama tujuh (7) hari, peserta akan mempelajari pelbagai elemen perniagaan seperti Jualan dan Pemasaran, Pengurusan Pentadbiran dan Sumber Manusia, Pengurusan Operasi dan Pengurusan Kewangan, Pendaftaran Perniagaan, Penjenamaan, Harta Intelek, Peraturan dan Undang-Undang Perniagaan serta Pendigitalan Perniagaan. Selain itu, peserta juga akan mendapat maklumat kemudahan bantuan oleh Kerajaan dan institusi perbankan

Di Fasa ini juga peserta seterusnya perlu menyediakan Business Model Canvas (BMC) dan membentangkan cadangan Rancangan Perniagaan (RP).

Bengkel Asas Keusahawanan ini secara tidak langsung membantu para peserta :

  1. lebih memahami asas keusahawanan dan perniagaan sekaligus dapat membantu peserta menjalankan perniagaan mereka dengan efisien;
  2. memastikan amalan tadbir urus perniagaan yang baik seperti penyimpanan rekod, maklumat perniagaan dan rekod kewangan;
  3. merancang agihan sumber bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti perniagaan dijalankan
Fasa 2

Fasa Kedua

Peserta yang berjaya menamatkan Fasa 1 akan menjalankan perniagaan berdasarkan Rancangan Perniagaan (RP) yang telah dibentangkan kepada Panel Penilai semasa Sesi Pith2Match. Perkembangan perniagaan peserta di Fasa ini akan dibimbing dan dipantau oleh Penyedia Perkhidmatan yang dilantik oleh SME Corp. Malaysia. Sepanjang tempoh pemantauan, peserta perlu:

  1. mengemukakan laporan perkembangan perniagaan pada setiap bulan atau setiap suku tahun dan / atau apabila diperlukan melalui cara / platform / kaedah yang akan ditentukan;
  2. memberikan komitmen dan kerjasama sekiranya dalam tempoh pemantauan, lawatan fizikal ke premis peserta perlu dilakukan; dan
  3. mengikuti program yang dianjurkan oleh SME Corp. Malaysia dari semasa ke semasa seperti latihan / seminar / aktiviti susulan yang berkaitan

Tempoh bimbingan dan pemantauan yang mengambil masa selama 12 bulan ini bertujuan untuk memastikan TUBErs mendapat khidmat nasihat yang bersesuaian dan mencukupi agar perniagaan yang dijalankan akan dapat terus berdaya tahan dan mampan serta relevan dalam industri.

Peringatan Penting

  1. Pemohon mesti membaca serta memahami konsep pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) serta kriteria kelayakan permohonan sebelum mengemukakan permohonan.
  2. Permohonan dalam talian akan dibuka mulai 15 Disember 2023 hingga 14 Januari 2024 sahaja . Permohonan sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan tidak akan diterima. Permohonan boleh dibuat di https://mybpi.smecorp.gov.my.
  3. Rujuk Manual Pengguna sebelum membuat Pendaftaran ID. Sila pastikan anda mendaftar ID Pengguna sebagai TUBE.
  4. SILA GUNAKAN KOMPUTER PERIBADI / KOMPUTER RIBA UNTUK PAPARAN YANG LEBIH BAIK
  5. Permohonan hanya boleh dibuat sekali sahaja.
  6. Sila pastikan emel yang digunakan semasa Pendaftaran ID adalah aktif dan sah.
  7. Sila lengkapkan semua soalan di setiap Seksyen dengan maklumat yang tepat dan betul sebelum menekan butang "Sah & Hantar"
  8. Sebarang pengemaskinian maklumat tidak boleh dilakukan setelah anda menekan butang "Sah & Hantar".
  9. Pemohon diwajibkan untuk mencetak makluman penerimaan permohonan untuk simpanan dan rujukan pada masa akan datang.
  10. Pemohon hendaklah MEMENUHI SEMUA kriteria kelayakan yang dinyatakan. Sekiranya didapati bahawa :-
    1. pemohon tidak memenuhi salah satu / mana-mana kriteria dinyatakan, pemohon secara langsung adalah TIDAK LAYAK untuk dipertimbangkan;
    2. pemohon mengemukakan maklumat tidak benar atau palsu, permohonan akan DIBATALKAN serta merta
  11. Sekiranya pemohon tidak dihubungi dalam tempoh tiga (3) bulan daripada tarikh tutup permohonan secara dalam talian, permohonan dianggap tidak berjaya.
  12. Berdasarkan kepada dasar dan prosedur yang diterima pakai, SME Corp. Malaysia berhak untuk meminda, mengganti, membatal atau mengubah mana-mana terma dan syarat permohonan ini pada bila-bila masa tanpa memberi notis terlebih dahulu. Keputusan penilaian permohonan adalah muktamad dan sebarang surat-menyurat atau rayuan TIDAK AKAN DIPERTIMBANGKAN.