Latar Belakang Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE)

Program TUBE merupakan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan. Ia tercetus sewaktu Kongres Usahawan Muda Bumiputera yang dianjurkan oleh MITI pada 27 - 29 Mac 2014. Semasa Majlis Penutup Kongres pada 29 Mac 2014, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada SME Corp. Malaysia bagi melaksanakan Program TUBE pada tahun 2014.

Program ini secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara yang mana keusahawanan merupakan antara bidang tumpuan utama untuk belia maju ke hadapan.

Maklumat Program TUBE

Program ini menyasarkan golongan belia Bumiputera yang berumur di antara 18 - 30 tahun yang mempunyai minat yang mendalam untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, khususnya belia yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan. Objektif utama Program TUBE adalah untuk:

  1. memupuk dan menanam semangat keusahawanan di kalangan belia
  2. anjakan paradigma belia dari pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan; serta
  3. membentuk daya tahan dan jati diri di kalangan belia dalam mengendalikan perniagaan sendiri
Program TUBE ini direka khas bagi mempersiapkan belia yang ingin memulakan perniagaan agar mempunyai daya tahan dari segi mental dan fizikal, selain didedahkan dengan lanskap dan cabaran dunia perniagaan yang sebenar. Ini dilaksanakan menerusi tiga (3) Fasa pelaksanaan, iaitu :

Fasa Pertama

Peserta yang layak akan mengikuti latihan fizikal asas ala ketenteraan berkonsepkan bootcamp untuk menguji kecekalan minda, mempelajari cara membuat keputusan strategik, keberanian, penonjolan ciri kepimpinan serta semangat kerja berpasukan. Ini sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang bakal dihadapi semasa menjalankan perniagaan.

Fasa Kedua

Peserta akan didedahkan dengan lanskap perniagaan terkini; termasuk maklumat mengenai jenis bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh pelbagai Kementerian dan Agensi untuk memulakan perniagaan. Peserta juga akan mempelajari pelbagai acumen perniagaan termasuk perakaunan asas, pemasaran produk dan perkhidmatan, serta pembentangan idea dan Rancangan Perniagaan (RP) atau business plan.

Fasa Ketiga

Peserta yang melepasi Fasa 1 dan Fasa 2 akan menjalankan perniagaan berdasarkan Rancangan Perniagaan (RP) yang telah dibentangkan kepada Panel Penilai semasa di Fasa 2. Perkembangan perniagaan peserta di Fasa ini akan dibimbing dan dipantau menerusi Sistem Buddy oleh Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia. Tempoh bimbingan dan pemantauan ini yang mengambil masa selama 12 bulan bertujuan untuk memastikan TUBErs mendapat khidmat nasihat yang bersesuaian dan mencukupi, supaya perniagaan yang dijalankan akan dapat terus berdaya tahan dan mampan.

Peringatan Penting

  1. Pemohon mesti membaca serta memahami konsep pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sebelum mengemukakan permohonan
  2. Permohonan dalam talian dibuka mulai 23 Mei 2017 sehingga 15 Jun 2017. Permohonan sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan tidak akan diterima.
  3. Permohonan boleh dibuat sekali sahaja.
  4. Tarikh-tarikh penting (tertakluk kepada pindaan) adalah :-
    • Permohonan dalam Talian - 23 Mei 2017 sehingga 15 Jun 2017
    • Sesi Temuduga - Ogos / September 2017
    • Kemasukan Ke Kem (Fasa 1 & 2) - 1 - 21 Oktober 2017 (21 Hari)
    • Pelaksanaan Perniagaan & Pemantauan (Fasa 3) - Januari 2018 - Disember 2018
  5. Sila pastikan emel yang digunakan semasa Pendaftaran ID adalah aktif dan sah.
  6. Sila lengkapkan semua soalan di setiap Seksyen dengan maklumat yang tepat dan betul sebelum menekan butang "Sah & Hantar"
  7. Sebarang pengemaskinian maklumat tidak boleh dilakukan setelah anda menekan butang "Sah & Hantar".
  8. Bukti penerimaan permohonan adalah melalui emel yang telah didaftarkan.
  9. Berdasarkan kepada dasar dan prosedur yang diterima pakai, SME Corp. Malaysia berhak untuk meminda, mengganti, membatal atau mengubah mana-mana terma dan syarat permohonan ini pada bila-bila masa tanpa memberi notis terlebih dahulu. Keputusan penilaian permohonan adalah muktamad dan sebarang surat-menyurat atau rayuan tidak akan dipertimbangkan.